Friday, February 13, 2009

Tertarik dgn artikel ini:"Ungku Aziz garis 4 strategi kejayaan"


KUALA LUMPUR: Profesor Diraja Ungku Aziz menggariskan empat aspek utama untuk mencapai kejayaan dengan mengambil kira idea serta pandangan pakar dan cendekiawan antarabangsa.

Katanya, aspek berkenaan ialah diet dan pemakanan yang sihat, alat atau cara untuk membangunkan pemikiran, pelbagai strategi mencapai kejayaan, serta kepemimpinan.

Beliau berkata, empat aspek penting itu terkandung dalam sembilan karya tersohor antarabangsa, termasuk yang dihasilkan pada 1532 dan sudah dibacanya berulang kali.


"Dari segi diet, pergi ke mana-mana, saya sering ditanya apa saya makan sehingga kini sudah berumur 87 tahun. Keseimbangan amat penting antara protein dan karbohidrat, daging dan bukan daging, serta makanan mentah dan yang dimasak.

"Saya ambil makanan berdaging dua kali seminggu tetapi saya makan dua kali salad yang lengkap setiap hari. Saya juga minum banyak air, jus oren yang diperah segar dan teh. Jangan minum kopi kerana ada profesor di Fakulti Perubatan pernah memberitahu saya ia tidak baik untuk diri kita.

"Selain itu, gula adalah `racun' yang sangat tidak baik untuk semua bahagian tubuh kita. Elakkan gula ia umpama racun'," katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk `The Quest For Success' di Pusat Konvenyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.


Syarahan itu dianjurkan Petronas dan Universiti Teknologi Petronas sempena pemilihan Ungku Aziz sebagai penerima Anugerah Merdeka 2008 (Kategori Pendidikan dan Komuniti), November lalu.


Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka yang juga Presiden Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican, serta ahli lembaga itu yang juga Naib Presiden Bahagian Pendidikan Petronas, Datuk Dr Rosti Saruwono.

Ungku Aziz berkata, sembilan buku berkualiti itu yang disarankan dibaca ialah bertajuk `Fit For Life Not Fat For Life' hasil karya Harvey Diamond (2003), `Thinking Course' (Edward de Bono - 1982), `The Mind Map Book' (Tony Buzan - 1993), `Head First' (Tony Buzan - 2000), `The 36 Strategies of the Chinese: Adapting An Ancient Chinese Wisdom to the Business World' (Wee Chow Hou & Lan Luh Luh - 1988), `The Art of War' (Sun Xi - 1988), `The Prince on the Art of Power' (Niccolo Machiavelli - 1532), `Leader's Window' (J.D.W. Beck & N.M. Yeager - 1994) dan `Level 5 Leadership' (Jim Collins - HBR - 2001).

Sementara itu pada sidang akhbar, beliau berkata, bahasa bukanlah isu dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah, sekali gus bahasa Inggeris tidak semestinya menjadi bahasa pengantar dua mata pelajaran itu.

"Dalam soal ini, apa yang penting ialah pelajar mesti diberi penguasaan kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang mantap," katanya.berita harian 13 feb 09

No comments: